Sistem perniagaan francais
ini kurang dikenali di Malaysia sebelum tahun
1990-an. Mula dikenali ramai di
Malaysia selepas kerajaan melancarkan Program Pembangunan Francais pada tahun
1992 dan selepas Persatuan Francais Malaysia (MFA) ditubuhkan pada tahun 1994.
Sejak diperkenalkan oleh kerajaan, perniagaan francais di Malaysia
semakin berkembang. Pada tahun 1995, terdapat 125 sistem francais di Malaysia
dan pada tahun 2000, jumlahnya meningkat kepada 268. Pada tahun 2003, jumlahnya
melonjak ke 321.
Berdasarkan
perangkaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(KPDNKK), sehingga pertengahan tahun 2009, terdapat 374 sistem perniagaan
francais berdaftar di seluruh negara (Utusan Malaysia, 17 Julai 2009). Daripada
jumlah itu, 60 hingga 70 daripadanya dimiliki oleh ahli perniagaan bumiputera,
sementara selebihnya ialah milik bukan bumiputera. Pada tahun 2010 pula,
Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK menyenaraikan sejumlah 473 francaisor
yang berdaftar di bawah Akta Francais 1998. Kebanyakan daripada perniagaan
francais ini adalah dalam lima sektor utama iaitu sektor makanan, pakaian dan
aksesori, peruncitan, kecantikan dan kesihatan serta perhotelan. Perkembangan
dalam sistem perniagaan francais ini merupakan sesuatu yang membanggakan
memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan
negara-negara lain.
Pembangunan perniagaan francais di Malaysia
banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh kerajaan. Program
Pembangunan Francais ditubuhkan pada tahun 1992, di bawah Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) untuk membangunkan industri francais
di Malaysia terutamanya dari aspek pembangunan keusahawanan dan pembangunan
produk-produk francais tempatan. Kerajaan mengenal pasti perniagaan francais
sebagai salah satu daripada mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam
membangunkan usahawan-usahawan tempatan. Sehubungan dengan itu, kerajaan
menjadikan Program Pembangunan Francais sebagai salah satu program utama untuk
membangunkan usahawan golongan menengah bumiputera dan Masyarakat Perdagangan
dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Sejak
penubuhan Program Pembangunan Francais pada tahun 1993 dan diikuti dengan
penubuhan Persatuan Francais Malaysia pada tahun 1994, senario industri
francais di Malaysia menampakkan perkembangan yang lebih pesat. Pelbagai
program dan aktiviti dijalankan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat
usahawan tentang potensi perniagaan francais di negara ini. Ekoran daripada
itu, lebih banyak produk dan perkhidmatan menggunakan pendekatan sistem
francais. Sehubungan dengan itu, Akta Francais Malaysia 1998 digubal dan
dikuatkuasakan bagi mengawal selia industri yang sedang berkembang pesat ini.
Di bawah Rancangan Malaysia
Ketujuh kerajaan menetapkan sasaran seramai 1,200 francaisi. Di bawah Rancangan
Malaysia Kelapan pula, kerajaan menyasarkan untuk membangunkan seramai 1,000
francaisi dan 50 francaisor. Sehubungan dengan itu, bagi mencapai hasrat ini,
pelbagai aktiviti dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang
potensi dan peluang-peluang perniagaan francais di Malaysia. Kerajaan menerusi
Program Pembangunan Francais, MeCD bekerjasama dengan Persatuan Francais
Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan keusahawanan seperti Institut
Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CeDI) Universiti Utara Malaysia,
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
Apabila MeCD dimansuhkan pada tahun 2009, tugas untuk membangunkan industri
francais di Malaysia dipindahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan Kementerian (KPDNKK) yang juga menyasarkan untuk
membangunkan kira-kira 50 francaisor tempatan dan 1000 francaisi menjelang
2012.
Perniagaan francais di
Malaysia semakin berkembang. Antara bidang yang ingin dibangun atau
dikembangkan ialah bidang perkhidmatan, pakej francais mikro dan mobile serta
produk yang berteknologi tinggi atau berinovasi. Bidang perkhidmatan meliputi
bidang kecantikan dan andaman, perkhidmatan cucian dan penyelenggaraan, jagaan
harian orang tua dan kanak-kanak, hotel murah dan lain-lain. Pakej francais mikro
dan mobile akan memfokuskan produk perusahaan kecil dan sederhana (SME),
kios makanan, perkhidmatan kecantikan dan perkhidmatan penyelenggaraan
kenderaan bergerak. Produk berteknologi tinggi atau produk berinovasi akan
dikenal pasti melalui MOSTI dan MDEC.
No comments:
Post a Comment