McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing
Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan
mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Singer Sewing Machine
Company telah mula memberi lesen hak pengedaran produk Singer kepada
syarikat-syarikat individu sebagai ejen pengedaran mesin keluaran Singer di
kawasan pasaran yang eksklusif. Beliau turut memperkenalkan cara pengedaran
yang baharu iaitu pengedar-pengedar yang dilantik mempunyai hak penjualan yang
eksklusif di kawasan pemasaran mereka tanpa diganggu oleh pengedar-pengedar
lain dan mereka dikehendaki membayar royalti atau yuran untuk memperoleh hak
tersebut.
Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di
Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar
francais pada tahun 1898.
Perkara ini diikuti oleh Rexall pada tahun 1902 dengan memperkenalkan rangkaian
kedai ubat dan Howard Johnson pada tahun 1926 dengan rangkaian restoran.
Kemudiannya, seorang usahawan terkemuka dari Atlanta Amerika Syarikat, John S.
Pemberton telah menemui ramuan ubat lalu memperkenalkannya. Beliau kemudian
mengubahnya menjadi minuman ringandan membekalkannya dalam bentuk sirap kepada
syarikat-syarikat pembotolan tempatan Amerika Syarikat. Usaha ini berjaya
mewujudkan satu rangkaian francais minuman yang terbesar berjenama Coca-Cola.
Kejayaan ini telah menjadi pemangkin kepada kewujudan syarikat lain seperti
Pepsi-Cola dan Seven-Up.
Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik,
McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem
perniagaan francais. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96
peratus daripada rakyat Amerika telah mengunjungi Restoran McDonalds
sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka sedang atau
telah menikmati hidangan McDonalds untuk hari ini.
Lebih separuh daripada penduduk Amerika tinggal di sekitar 5
kilometer daripada Restoran McDonalds, dan sejak 40 tahun kebelakangan ini
McDonalds telah mengambil 16 juta orang pekerja di mana akhir-akhir ini
syarikat berkenaan telah mengatasi U.S Army di dalam melatih jumlah belia yang
terbesar iaitu hampir 700,000 belia setiap tahun. Meskipun, perniagaan francais
seringkali dikaitkan rangkaian makanan segera, namun realiti hari ini, dari
segi nilai jualan, hampir dua-pertiga daripada jualan francais sebenarnya
disumbangkan oleh industri bukan berasaskan makanan segera.
Umumnya, perniagaan francais di Malaysia telah bermula kira-kira 70
tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, stesen-stesen
minyak, pengedar-pengedar automobil dan perhotelan.
Kaedah pemasaran produk melalui sistem francais berbentuk format perniagaan
diperkenalkan pada tahun 1963 apabila A&W membuka outlet pertamanya
di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ini diikuti dengan kemasukan
restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s yang mula beroperasi di
Malaysia pada tahun 70-an dan awal 80-an.
Restoran yang beralamat di Lot
120-120A Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur merupakan restoran makanan McDonalds
yang pertama dibuka di Malaysia yang telah diuruskan oleh Golden Arches
Restaurant Sdn. Bhd. Pada hari tersebut, McDonalds di Bukit Bintang ini telah
memberikan burger Big Mac percuma bagi pelanggan yang pertama membeli Big Mac
pada setiap minggu selama setahun. Selain Big Mac, McDonalds juga menjual
French Fries, Fillet-O-Fish, Milkshake, Apple Pie dan lain-lain.
Namun
industri perniagaan francais hanya mendapat perhatian serius pihak kerajaan dan
masyarakat Malaysia pada awal tahun 1990-an. Kini di Malaysia, kerajaan telah
mengenal pasti perniagaan francais sebagai salah satu strategi yang memberi
manfaat kepada perkembangan ekonomi negara. Sistem perniagaan francais juga
dianggap sebagai salah satu mekanisme yang paling cepat dan berkesan dalam
membangunkan usahawan-usahawan tempatan. Sejajar dengan itu, tidak hairanlah
perniagaan ini semakin berkembang di Malaysia.
Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan
perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem francais, termasuk sektor
berkaitan automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan
alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit, salun
dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barangan kemas,
percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan
lain-lain.